klpos.com
Oleh Fudzail
Ahad, 17 Februari 2008
BAGI mereka yang mengikuti perkembangan politik tanahair di UAE, sememangnya kedatangan pilihanraya kali ini menjadi satu klimaks yang mendebarkan. Sememangnya buat majoriti yang sudah bosan dan meluat dengan kepimpinan negara, bukan sekadar empat tahun lalu, perubahan memang menjadi agenda yang terus menyemarakkan semangat.
Rakyat Malaysia yang berada di UAE dikatakan sudah mencecah 5 ribu orang yang berniaga dan bekerja dalam pelbagai bidang.
Dengan kepesatan pembangunan negara di bawah Perdana Menteri UAE yang cemerlang, gemilang dan terbilang, Sheikh Mohamed bin Rashid Al Maktoum, rezeki buat kami dan keluarga memang masih melimpah.
Memang banyak perbedaan ketara antara dua Perdana Menteri dari negara yang bermajoritikan Islam walaupun dari sistem 'demokrasi yang berbeda'.
Tetapi buat kami yang berada di UAE, terlalu sedih dengan PM sendiri di tanahair yang bukan sahaja menjadi bahan kutukan dan jenaka, malah menjadi ikon apa yang dikatakan sebagai simbol tersergam apa yang tidak kena di Malaysia.
Terimakasih kepada pengkritik Abdullah Badawi yang bernama Dr. Mahathir kerana beliaulah yang telah memilih Abdullah Badawi sebagai pengganti dan mungkin Dr. Mahathir akan membawa penyesalan ke liang lahad. Lebih malang lagi buat rakyat yang tidak memilih Abdullah Badawi sebagai PM.
Begitupun, boleh dikatakan salah satu legasi Dr. Mahathir ialah berhasilnya beliau menakut-nakutkan rakyat dalam kebebasan bersuara dan melahirkan pendapat berbeda.
Pelbagai ancaman, tekanan dan kongkongan dengan berjenis akta dan sekatan sepanjang 22 tahun menjadi PM yang menghampiri diktator, Dr Mahathir melahirkan generasi yang sentiasa dibayangi oleh ketakutan.
Sehingga walau berada di luar negara, ramai rakyat Malaysia yang masih takut untuk kelihatan sebagai pengkritik atau pembangkang.
Apalagi konon-kononnya ada dua tiga ekor SB yang dikatakan dihantar menyusup dikalangan rakyat di UAE sebagai pemerhati aktiviti kami di sini.
Pada SB-SB yang ada itu, kalau memang mereka SB, jangan lupa ada SB di kiri kanan bahu kamu yang sama memerhati dan mencatat aktiviti kamu yang lebih hebat lagi.
Buat kami yang sudah tidak heran dengan ugutan dan ancaman, meneruskan usaha untuk kearah Malaysia yang lebih baik tidak terhenti biarpun jauh dari tanahair.
Mencari rezeki di perantauan pun adalah kerana mahukan perubahan keadaan, menyampah dengan gelagat elit UMNO yang semakin tamak haloba, serta memberikan ruang untuk lebih bebas dari persekitaran yang semakin bobrok dengan jenayah, rasuah, penyelewengan, ketidaktentuan ekonomi (biar bertambah koridor) dan arah hala negara disamping bimbang dengan masa depan anak-anak yang tidak terjamin.
Sebagai salah satu aktiviti dalam mendapatkan dana pilihanraya buat Barisan Alternatif, pihak kami mengadakan 'ceramah dan dialog' secara teleconferencing dengan YB Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Aziz.
Bermula dengan tazkirah Tuan Guru, memang terasa terlepas kerinduan mendengar suara dan isi yang cukup bernas mengenai demokrasi dari sudut Islam.
Memang sukar untuk mencari ganti kepada Tuan Guru yang bukan sahaja memberi impak kepada rakyat Kelantan, tetapi juga ramai yang dapat membedakan kehidupan antara seorang Menteri Besar dari PAS dan semua Menteri Besar lain dari BN.
Juga memang ketara perbedaan antara Tuan Guru Nik Aziz dengan Tuan Guru Imam Besar Hadhari yang kini semakin bergaya disamping permaisuri baru.
Sememangnya setiap manusia mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing. Buat kami, Tuan Guru merupakan ikon dalam kehidupan yang serba mementingkan materialisme dan survival berlandaskan sekuralisme.
Kalau berbanding kelemahan Tuan Guru dengan MB dari BN atau menteri atau PM sendiri, tidak ternampak kelemahan itu, kerana terlalu kecil.
Sesi Dialog di isi dengan pelbagai soalan yang kebanyakannya mahu kepastian dari apa yang dibaca melalui blog.
Tuan Guru mengingatkan kami yang jangan sekali melibatkan persoalan peribadi kerana ada isu yang lebih besar untuk diketengahkan.
Antara soalan cepu mas ialah mengenai kedudukan Ibrahim Ali yang dikatakan akan bertanding di Parlimen Pasir Mas. Apakah Ibrahim Ali akan bertanding mewakili PAS? Tuan Guru memberikan jawaban berterus-terang. Ya, Ibrahim Ali akan bertanding. Penjelasan selanjutnya? Tunggu dan lihat.
Begitu juga dengan harapan PAS dalam menahan serangan GILA dari UMNO untuk menjadikan Kelantan mangsa mereka yang seterusnya dalam kempen 'pembangunan' dulu, kini dan selamanya.
Saya tertarik dengan kata-kata Tuan Guru yang BN pastinya mencurahkan wang untuk menarik undi.
Seolah-olah pengundi dan rakyat adalah beruk, bukan manusia yang mempunyai akal fikiran untuk menilai. Seolah-oleh wang itu segala-galanya. Strategi ini boleh menikam diri mereka sendiri.
Tuan Guru beberapa kali memberi komen yang melucukan mengenai spekulasi dan ramalan. Pertanyaan dan saranan yang khusus mengenai DUN dan Parlimen tertentu turut dilontarkan untuk perhatian Tuan Guru.
Kebetulan ramai juga rakyat Malaysia yang berasal dari Kelantan berada di UAE. Ada yang tidak berpuas hati dengan prestasi ADUN dan calun PAS tertentu.
Antara soalan yang melucukan ialah, "Berapa bajet pilihanraya PAS untuk Kelantan?"
Seolah-olah yang bertanya sudah bersiap dengan cek untuk menaja keseluruhan bajet yang ada.
Jawab Tuan Guru, "Hantar sajalah berapa guni duit yang ada!"
Sesi bersama Tuan Guru adalah peluang yang terbaik untuk kami bersama memberi sokongan padu kepada Barisan Alternatif disamping menghulurkan dana untuk membantu kempen yang bakal menjadi 'kempen terkotor oleh BN'.
Satu jihad untuk menentang pendukung politik yang sudah biasa dengan matlamat menghalalkan cara, tidak kisah halal haram, dosa pahala, asalkan survival dan perut sendiri dipertahankan selagi nyawa dikandung badan, tentunya, semua jentera dan harta kerajaan akan disalahgunakan untuk memastikan mereka kembali merompak khazanah negara.
Sesi bersama Tuan Guru diikuti dengan sesi bersama Husam.
KAMI MENYOKONG DEKLARASI RAKYAT
(Fudzail adalah ekspatriat Malaysia yang bermastautin di Dubai sejak tahun 2000. Berkelulusan sains komputer dari New Zealand. Pernah terlibat dalam pembangunan Dubai Internet City, Palm Jumeirah dan 15 projek mega lain. Kini menguruskan projek pembinaan prasana dan utiliti di Palm Jabel Ali. Sekarang beliau menulis untuk kolum Dubai Online 2.0 di portal berita KLpos.com. Beliau boleh dihubungi melalui fudzail@yahoo.comAlamat email ini telah dilindungi dari spam bots, anda perlukan Javascript enabled untuk melihatnya serta kerjadubai.blogspot.com)
ADA FUNFAIR... UNSUR JUDI???
1 hour ago
0 comments:
Post a Comment