KONGRES PKR ...LIVE !!! -----> cakkk kat sebelah
Hari terakhir perbahasan Kongres LIVE .... !!!!
Jadual 3 hari KONGRES - DISINI
---------------

HOME [no2umno]

Feb 14, 2008

Peguam dakwa ada USAHA UGUT saksi


Utusan Meloya
Oleh NOR ZAINAH NORDIN dan NOOR AZMAH IBRAHIM

KUALA LUMPUR 13 Feb. - Peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah mendakwa anak guamnya, Jayanti L. Govindarajulu Naidu menghadapi tekanan daripada pihak-pihak tertentu berikutan kesediaan bekas setiausaha Datuk V.K. Lingam itu menjadi saksi dalam prosiding Suruhanjaya Diraja Siasatan Klip Video.

Muhammad Shafee yang tidak menamakan pihak-pihak tersebut berkata, terdapat juga cubaan daripada pihak berkenaan untuk menghubungi Jayanti khususnya dalam tempoh dua minggu ini iaitu setelah saksi ke-19 itu membuat akuan bersumpah.

Selain Jayanti, kata Muhammad Shafee, turut diberi tekanan ialah bekas pemandu peribadi Lingam (yang kini bekerja dengan Shafee & Co. sebagai pemandu), Ramachandran Dhonapal.

"Mungkin memadai bagi saya meminta peguam-peguam pemerhati supaya menasihatkan anak guam masing-masing atau ejen-ejen mereka supaya tidak menghubungi dua saksi ini," katanya.

Pada 30 Januari lalu, Jayanti, 45, dan Ramachandran, 59, membuat akuan bersumpah di hadapan Pesuruhjaya Sumpah Fatimah Bevi Mohamed Abdullah. Dalam akuan tersebut, Jayanti mendedahkan hubungan Lingam dengan hakim-hakim.

Akuan tersebut disahkan oleh Jayanti ketika memberi keterangan di hadapan Suruhanjaya Diraja Siasatan Klip Video semalam.

Peguam R.S.N. Rayer yang juga mewakili Jayanti berkata, tekanan terhadap anak guamnya semakin memuncak apabila keterangan Jayanti disiarkan oleh media.

Dalam keterangannya, beliau menyatakan Lingam mengarahkannya menyediakan jadual perjalanan bagi percutian peguam itu dan keluarganya bersama bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohd. Eusoff Chin pada Disember 1994.

Jayanti turut mendedahkan bahawa beliau dan dua setiausaha Lingam yang lain dikurung semalaman bagi menaip dan menyiapkan draf penghakiman kes saman sivil membabitkan ahli korporat, Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun lwn. MGG Pillai dan enam pihak lagi.

Dalam pada itu, Pengerusi Suruhanjaya, Tan Sri Haidar Mohamed Noor menangguhkan prosiding sehingga Jumaat ini bagi membolehkan suruhanjaya meneliti permohonan dua saksi yang mahu Datuk Mahadev Shankar dan Profesor Emeritus Datuk Dr. Khoo Kay Kim menarik diri dari mengendalikan prosiding.

Permohonan itu dikemukakan oleh Eusoff dan Lingam melalui peguam masing-masing, Datuk Hazman Ahmad dan R. Thayalan.

Cadangan penangguhan itu dibantah oleh peguam Yeo Yang Poh yang mewakili Badan Peguam Malaysia yang mahu dua permohonan itu didengar hari ini.

Bagaimanapun, Haidar berkata, adalah lebih baik bagi suruhanjaya untuk menunggu dan memutuskan permohonan itu sebelum menyambung mendengar keterangan saksi-saksi.

"Kami berpendapat bahawa permohonan itu mengandungi dakwaan yang serius. Atas dasar keadilan, beri kami masa untuk membuat pertimbangan sebelum memutuskannya," kata beliau.

Haidar berkata, suruhanjaya juga berpendapat bahawa nama-nama yang disebutkan dalam permohonan tersebut tidak perlu dipanggil memberi keterangan dalam prosiding siasatan itu.

Katanya, jika mereka rasa perlu untuk membuat hujah balas, suruhanjaya berpandangan bahawa memadai jika mereka memfailkannya dalam bentuk akuan bersumpah.

Suruhanjaya yang dibentuk bagi menyiasat dan menentukan ketulenan dan kesahihan klip video memaparkan Lingam berbual melalui telefon dengan seseorang yang dikatakan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim berhubung pelantikan hakim-hakim.

Selain Haidar, Shankar dan Kay Kim, suruhanjaya itu dianggotai Tan Sri Steve Shim Lip Kiong dan Puan Sri Zaitun Zawiyah Puteh.

Prosiding bersambung Jumaat ini.

0 comments:

Posting terkini

Blog Archive