KONGRES PKR ...LIVE !!! -----> cakkk kat sebelah
Hari terakhir perbahasan Kongres LIVE .... !!!!
Jadual 3 hari KONGRES - DISINI
---------------

HOME [no2umno]

Feb 14, 2008

AWAS !!! BN SUDAH MULA SAMSENG

Jentera kempen BN sudah mula mengamuk, tunjuk samseng
Ali Bukhari Amir
harakahdaily

Ahad lalu (10 Februari) Bilik Gerakan Dun Semenyih mula beroperasi dan ia dilancarkan dengan kehadiran sekitar 100 penyokong Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Bagaimanapun, sehari selepas perasmiannya, bendera-bendera PSM dan kain rentang di bilik gerakan itu telah dirampas oleh Majlis Perbandaran Kajang dalam jam 10 pagi, Isnin lalu.

"Ini menimbulkan kemarahan kami. Kami persoalkan tindakan MPKJ merampas bendera itu walhal bendera yang dipacak itu adalah dalam lingkungan kawasan bilik gerakan yang beroperasi sejak 1 Februari lalu," kata Penyelaras Media PSM DUN Semenyih, Nalini. E.

Tunjuk helah

Tindakan MPKJ sehingga kini tidak diketahui sama ada ia berdasarkan laporan penduduk setempat atau gara-gara laporan pimpinan BN sekitar kawasan tersebut. Semua ini tidak menghairankan lantaran ketua kerajaan sendiri menunjukkan helah pada 12 Februari lalu.

Akhbar Berita Harian melaporkan kenyataan Abdullah 12 Februari lalu: "Tak jadi bubar esok (hari ini). Seronok khabar angin ini (tetapi) esok (hari ini) tak ada pembubaran Parlimen."

Perdana Menteri juga menafikan kononnya mesyuarat mingguan Kabinet hari ini adalah yang terakhir sebelum Parlimen dibubarkan bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-12 diadakan.

Sambil ketawa ketika diajukan soalan sama ada Parlimen akan dibubarkan hari ini, Perdana Menteri berkata, mesyuarat mingguan Kabinet akan tetap diadakan seperti biasa hari ini.

"Apa yang menyebabkan anda berfikir mesyuarat Kabinet itu adalah yang terakhir? Mesyuarat Kabinet ada lagi... ada lagi," katanya pada sidang media selepas melancarkan Institut Islam Hadhari UKM.

Handal berjenaka

Abdullah juga handal berjenaka bersama wartawan dan bergurau 'helah' mengenai tarikh pembubaran pilihan raya seperti yang dilaporkan melalui lidah rasmi kerajaan BN itu.

Akhbar itu terus melaporkan: "Betulkah esok 13 (hari bulan), anda pasti?" soal beliau (Abdullah) kepada wartawan sambil tersenyum dan mengangkat jari telunjuknya ketika ditanya: "Datuk Seri, esok 13".

Sikap ini, jika berterusan diamalkan, akan membuatkan Abdullah semakin dibenci kaum wartawan aliran perdana sendiri, sebagaimana mantan Presiden Indonesia Gus Dur yang dibenci kaum wartawan Indonesia yang kerap 'bergurau' dalam sidang medianya.

Kepada wartawan Indonesia, Gus Dur sememangnya suka berjenaka dan tidaklah serius. Watak ulamak seperti ini sememangnya memburukkan imej agama.

Gus Pur yang memiliki perwatakan seiras Gus Dur, telah dijemput memegang watak Gus Dur dalam rancangan tv popular Republik Mimpi di Metro TV. Hal ini menjadikan watak ulamak Gus Dur ditertawakan umum. Relakah Abdullah wataknya dijelmakan sebegitu?

Lihat juga komen Abdullah di Utusan Malaysia 13 Februari lalu ...

BANGI 12 Feb. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini menafikan desas-desus yang semakin hangat bahawa beliau akan mengumumkan pembubaran Parlimen, esok.

"Tidak... tidak lagi, pandailah you," kata Perdana Menteri sambil tersenyum lebar ketika pemberita mengajukan soalan tentang khabar angin kemungkinan beliau mengumumkan pembubaran Parlimen bagi membolehkan pilihan raya umum ke-12 diadakan.

Abdullah juga menolak saranan pemberita bahawa mesyuarat Kabinet esok adalah yang terakhir yang akan dipengerusikan oleh beliau sebelum pilihan raya umum.

Secara bersahaja beliau berkata: "Khabar angin, itu yang seronok dengar, siapa cakap? Mesyuarat Kabinet ada lagi, ada lagi, dalam penggal ini ada lagi mesyuarat Kabinet."


Cacatkan Islam Hadhari

Helah Abdullah seperti ini, ketika melancarkan Institut Islam Hadhari tentulah akan lebih mencacatkan rupa paras dan citra Islam Hadhari. Ringkasnya, dalam BN daripada bawah (misalnya MPKJ) sehinggalah ke pucuk pimpinannya telah pun mesra dengan penipuan.

"Nampaknya kehadiran PSM di DUN Semenyih ini telah pun dirasai Barisan Nasional," kata Nalini lagi dalam suatu kenyataan medianya.

Sementara itu ketika mengulas kejadian bendera PSM dirampas MPKJ, seorang ahli PSM Ramalingam, berkata ini menunjukkan BN rasa tergugat dengan PSM di Dun Semenyih.

"Kita sedia maklum dengan kekuatan PSM ini. Ia bukannya parti yang bekerja lima tahun sekali macam BN. Kita kerja setiap hari dengan rakyat miskin, maka tentulah BN berasa terancam kedudukannya," katanya yang pernah terlibat dengan isu ladang Sg. Rinching.

Insiden MPKJ merampas bendera ini, menurut Nalini, tak mungkin merampas semangat Jentera Pilihan Raya malah menguatkan lagi semangat untuk menangi DUN Semenyih.

"Kita berikan amaran kepada BN, bahawa sebarang ugutan dan taktik kotor mereka tidak akan menggugat semangat perjuangan PSM," kata Nalini lagi.

Hubungan Abdullah dan SPR dalam menyusun helah demi penipuan demi kecurangan ini mungkin mendatangkan kesan kepada imej Islam di rantau ini. Pada 1999 contohnya, ada sekitar 600, 000 pengundi muda tidak dibenarkan mengundi demi menghalang anak muda yang diresapi luapan semangat reformasi. Sehingga kini, tiada penjelasan tentang isu ini.

Bagaimana paparan imej BN mahu dipulihkan dalam tempoh terdekat?

Tapisan PM

Roslan (nama samaran) seorang pegawai kerajaan berkata, beliau melihat ada kecenderungan di mana imej BN itu melalui beberapa siri tapisan melalui PM dan BPR.

"Saya dengar Dr Amran Kasimin akan menggantikan tempat Dato' Dr Rahman Ismail di Parlimen Gombak," kata beliau. "Ini kerana Abdullah ingin membersihkan imej BN yang banyak terpalit dengan isu moral."

Melalui edaran risalah Kempen 1 Harakah, gambar Senator Dato' Norhayati Onn merangkap Exco Wanita Umno Malaysia, Naib Wanita Umno Selangor telah pun disiar dalam keadaan bermesra bersama ahli Parlimen Gombak itu di salah sebuah hotel.

Tambah Roslan, persoalan moral BN adalah antara hal yang amat mencemaskan PM kini.

Apa pun, PM yang dikenali pada 12 Februari lalu bukan lagi PM yang dikenal pada awal-awal ketika bersumpah wallahi, wabillahi, watallahi ketika dia mengangkat ikrar sebagai ketua kerajaan.

Ucapan sumpah Abdullah itu ketika itu bagaikan kata-kata nabi dan umpama wakyu pada ketika lafaz itu disiarkan secara langsung menerusi tv dan media elektronik perdana. Dan, harapan pun kembali berbunga ketika tempoh perletakan Dr Mahathir ketika itu.

Naik bangku

Ia terjadi pada Mac–Mei 2004 ketika saya menjadi wartawan pelatih di Bernama. Dan seorang wartawati muda telah pun diarah naik bangku untuk merakamkan ucapan Abdullah dalam televisyen yang digantung tinggi ke bumbung pejabat.

Pada ketika itulah Abdullah bagaikan Tuhan. Ucapannya, kalau pun bukan firman Tuhan, ia bagaikan sabda rasul. Segala limpahan lafaznya pada ketika ikrar disebut itu, telah pun disedut dan ditadah mangkuk perakam wartawati muda itu.

Hari itu saya dapat pengajaran dan pelajaran baru. Rupa-rupanya, demikianlah kreatifnya bekerja sebagai wartawan itu. Hormat kepada Abdullah perlahan-lahan datang. Kini, ia terbang menghilang!

Sebenarnya, hormat itu hilang kerana banyak sebab yang tidak dapat ditulis di sini. Tapi, mendengar ucapan gurauan, jenakanya baru-baru ini seperti yang tersiar dalam laporan akhbar, menyebabkan kita boleh andaikan bahawa ramai orang yang menderita sakit jiwa dek lafaz Abdullah itu.

Kalau jentera BN boleh digunakan bagi mencederakan imej parti lawannya sebagai mana MPKJ sebagai jentera digunakan untuk merampas bendera PSM, apakah lagi yang rakyat harapkan daripada 'keadilan' daripada gurauan, helah dan penipuan PM Abdullah sejak dahulu, kini dan selama-lamanya?

0 comments:

Posting terkini

Blog Archive