p096.blogspot
Media Melayu telah melaporkan kenyataan Najib Razak bahawa Barisan Nasional berkuasa bukan kerana penipuan - ‘ kita tidak tipu dalam pilihan raya’. Najib dan kuncu-kuncunya mendapat kuasa kerana dipilih oleh rakyat. Ini satu pembohongan besar dari Najib.
Najib sendiri sedar dalam tahun 1999 dia hanya dimenangkan dengan 242 undi. Ini pun bukan undi terbuka. Undi yang menyelamatkan Najib ialah undi ‘askar’ atau undi pos. Jika ini tidak bohong maka Sankaran Pillay a.k.a Chandra Muzaffar bukan orang India tetapi orang Eskimo.
Cara membaca media Malaysia amat senang. Apa yang dikatakan oleh menteri harus dibaca sebaliknya. Contohnya, jika menteri berkata Malaysia TIDAK ADA RASUAH maka bermakna di Malaysia ada rasuah. Jika menteri berkata semua rakyat sokong kerajaan bermakna ada rakyat yang TIDAK sokong kerajaan.
Umum telah lama mengetahui bahawa pilihan raya yang telah dijalankan dalam negara kita ini bukan satu pilihan raya yang bebas dan telus. Dari masa ke masa orang ramai makin sedar bahawa ada penipuan yang licik telah dan sedang dijalankan dalam proses pilihan raya. Cerita dan surah pilihan raya tipu ini telah menjadi lagenda rakyat.
Apa yang menghairankan DI MANA PENIPUAN ITU DIJALANKAN?
Penipuan utama dijalankan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Cukup senang tak payah bersuluh untuk memahami bahawa SPR ini tidak boleh dipercayai. Sesiapa yang percaya kepada SPR samalah seperti percaya bahawa Lingam adalah peguam yang jujur
Setiap sepuluh tahun akan diadakan persempadanan semula. Ini jerat pertama. Penyokong Barisan Rakyat akan ‘dipindahkan’. Pemindahan ini cukup licik. Bukan nama mereka dialihkan tetapi kawasan mereka dimasukkan ke satu kawasan lain. Kawasan mereka akan dimasukkan ke kawasan yang majoritinya menyokong parti lawan. Dengan cara ini jumlah mereka akan menjadi longgar. Ini terjadi kepada kawasan Mat Sabu dan Mahfuz Omar. Hasilnya kedua-dua ahli parlimen ini hilang kerusi pada tahun 2004.
Tak percaya lagi pilihan raya menipu?
Cara kedua ialah menambah angka pengundi baru ke dalam kawasan yang dimiliki oleh Barisan Rakyat. Contoh terbaik sedang berlaku untuk kawasan Lim Kit Siang di Ipoh. Lim Kit Siang telah diperanjatkan dengan kedatangan 8,000 undi baru. Dari mana hantu-hantu ini datang tidak pula diketahui. SPR membabi buta terus senyap.
Cara ketiga ialah menambah undi pos. Contoh terbaik sedang berlaku di Dun Belantek, Kedah. Tanpa hujan tanpa kilat tiba-tiba wujud 1,031 undi pos. Undi pos ini telah disediakan oleh SPR. Undi pos ini akan memastikan parti musuh akan menang kali ini dan calon Barisan Rakyat akan tewas.
Tak percaya lagi pilihan raya menipu?
Cara keempat ialah membawa pengundi hantu – orang luar – pendatang haram. Ini terbukti jelas di Sabah. Kerana itu rakyat Sabah telah melaungkan Sabah Untuk Sabahan. Slogan ini memberi makna bahawa rakyat asli Sabah memang diberi peluang untuk mengundi tetapi TIDAK mungkin dapat memilih wakil pilihan mereka. Telah sedia wujud beratus ribu pendatang haram yang telah diberi kad pengenalan untuk mengundi parti-parti yang memusuhi rakyat Sabah.
Cara kelima ialah membawa masuk dan mendaftarkan puluhan pengundi dalam satu alamat. Kes ini telah ditimbulkan puluhan dan ratusan kali. Kes yang amat jelas telah dipaparkan oleh Parti Keadilan Rakyat tentang belasan pengundi yang duduk di satu alamat di Pantai Dalam. Bila diselidiki alamat ini TIDAK WUJUD lagi. Apa yang wujud ialah tol lebuh raya yang baru.
Apa tindakkan SPR? Tidak ada apa-apa langkah yang diambil. Kerana alamat ini adalah gudang undi yang akan membantu Shahrizat Jalil.
Tak percaya lagi pilihan raya menipu?
Kali ini ada dikhabarkan bahawa DAKWAT akan digunakan untuk MEMBUNUH pengundi hantu. Ini adalah satu tuntutan lama. Perhatikan setakat ini belum ada lagi kempen media dari SPR untuk mendidik pengundi tentang cara penggunaan dakwat ini. Pasti akan berlaku haru-biru bila dakwat diperkenalkan. Akan timbul cerita dakwat TIDAK CUKUP, dakwat cair, dakwat boleh dibasuh. Saya jamin ini akan berlaku kerana SPR ini badan yang tugasnya menipu rakyat dalam pilihan raya.
Tak percaya lagi pilihan raya menipu?
Satu taktik yang amat licik telah dan akan digunakan. Teknik ini cukup pintar. Ini silap mata yang telah berkali-kali merabuni orang ramai.
Begini caranya:
Pengira undi hanya mereka yang telah dilantik dan dibenarkan oleh SPR. Ini bermakna ORANG-ORANG YANG DILANTIK DAN DIBENARKAN ini adalah yang telah dipilih dan diajar oleh SPR. Lupakah berita tentang bagaimana Puteri United Malay National Organisation telah sukarela bekerjasama untuk membantu SPR. Musang-musang dara ini sanggup bersedia untuk menjaga reban ayam betina.
Wakil-wakil Barisan Rakyat yang berada dalam dewan mengira undi hanya dibenarkan untuk melihat sahaja. Kertas undi TIDAK boleh diusik. Yang mengira itu adalah mereka yang telah dididik oleh SPR. Mereka mengira dengan tangan. Setelah sepuluh kertas undi dikira kertas ini akan dikumpulkan. Dari sepuluh kertas undi ini akan dicantumkan untuk menjadi sepuluh kumpulan. Sepuluh kumpulan kecil ini akan diikat dalam satu kumpulan besar. Ini bermakna dalam satu kumpulan besar ada 100 undi.
Nah – di sini PENIPUAN BESAR berlaku. Jangan kira siapa yang mengundi tetapi kira siapa yang mengira undi.
Dengan licik si pengira akan menambah dari 10 kertas undi ke 12 kertas undi jika undi ini untuk Barisan Rakyat. Ertinya Barisan Rakyat telah hilang dua kertas undi. Jika undi ini untuk parti musuh maka si pengira akan meletakkan hanya 8 kertas undi. Ini bermakna parti musuh telah mendapat 2 kertas undi lebih.
Kemudian kumpulan besar ini yang sepatutnya setiap satu ada 100 kertas undi akan diikat. Apabila dikumpulkan untuk diikat sekali penipuan akan digunakan. Untuk parti musuh 80 kertas undi akan dikira 100. Untuk Barisan Rakyat 120 akan dikira 100.
Sila ambil perhatian! Para pemerhati dari Barisan Rakyat hanya menjadi saksi dalam dewan. Mereka TIDAK DIBENARKAN mengusik kertas undi. Bukankah semua wakil parti TIDAK boleh mengusik kertas undi? Betul tidak ada siapa yang boleh mengusik kertas undi. Tetapi pegawai yang dilatih oleh SPR ini adalah kaki tangan dan tali barut Barisan Nasional. Janganlah bodoh sangat.
Kenapa TIDAK ULANG KIRA. Memang boleh ulang kira tetapi si laknat SPR telah menetapkan sesiapa hendak ulang kira wajib membayar 40,000 ringgit. Kalau tidak percaya sila tanya Rais Yatim semasa bertanding di Jelebu ketika itu dia dalam Parti Semangat 46.
Bagaimana saya tahu hal ini berlaku walhal saya TIDAK PERNAH mengundi?
Fakta cara penipuan ini dibuktikan dalam pilihan raya tahun 2004 di Permatang Pauh untuk kerusi Dr. Wan Azizah. Apakah lupa? Mula-mula Dr.Wan Azizah menang, kemudian beliau kalah dan kemudian beliau menang. Kenapa ini boleh berlaku? Kerana jangan kira siapa yang mengundi tetapi kira siapa yang mengira undi.
Tak percaya lagi pilihan raya menipu?
Feb 14, 2008
PENIPUAN PETI UNDI - AWAS
Labels: Belit SPR, Belit UMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment