Guna cek, tanpa 'stamping' - SPR tolak bantahan PAS
Nur Abdul Rahman
harakahdaily.net
KUALA LUMPUR, 24 Feb (Hrkh) - Calon PAS Parlimen Titiwangsa (P119), Dr Lo' Lo' Dato' Mohamad Ghazali melahirkan rasa kesal dengan tindakan Pegawai Pengurus Pilihan Raya yang menolak bantahan mereka terhadap calon Barisan Nasional (BN) berhubung peraturan 'stamping' (mematikan setem pada borang Akuan Bersumpah) dan pembayaran wang deposit melalui cek oleh calon BN.
Tegas Dr Lo' Lo', tiga hari sebelum penamaan calon, beliau dipanggil oleh SPR berhubung peraturan baru yang mewajibkan mematikan setem pada borang Akuan Bersumpah calon.
Bagaimanapun, pagi tadi, Dr Lo' Lo' sekali lagi menyuarakan kepada SPR berhubung peraturan tersebut apabila mendapati calon BN, Dato' Aziz Jamaluddin tidak berbuat demikian (mematikan setem). Namun, calon PAS berasa terkejut kerana pihak SPR memaklumkan mereka menerima arahan 'terbaru' bahawa syarat mematikan setem tidak lagi menjadi syarat wajib dalam borang Akuan Bersumpah calon.
"Semasa perjumpaan dengan kita pada 21 Februari lalu, SPR kata wajib matikan setem pada borang tersebut, kita jadi kelam kabut kerana tinggal tiga hari lagi penamaan calon, malah SPR mensyaratkan cop yang original, tetapi hari ini, sama ada matikan setem atau tidak, kedua-dua boleh. Bila saya tanya SPR, mereka jawab 'Ini arahan lisan terbaru'," ujar Dr Lo'Lo' ketika berucap sebaik sahaja keluar dari pusat penamaan calon di Sekolah Menengah Aminuddin Baki.
Malah, beliau juga kesal kerana tidak dibenarkan menyemak permohonan calon BN yang dilihat menggunakan bank draf untuk bayaran deposit pilihan raya.
"PAS sudah bayar awal, malah secara tunai sebelum penamaan calon, tapi saya ternampak calon BN mengemukakan cek, mana tahu cek tersebut cek 'tendang' atau sebaliknya, bagaimanapun SPR enggan membenarkan calon PAS menyemak permohonan calon BN," ujar beliau.
Sementara itu, kira-kira 6,000 penyokong mengiringi calon ke pusat penamaan calon. Mereka mula berkumpul di surau Taman Maluri kira-kira jam 8 pagi untuk menunaikan solat hajat. Borang pencalonan PAS diterima pada jam 9.06 pagi oleh Pegawai Pengurus Pilihan raya, Yahya Soh manakala calon BN pada jam 9.02 pagi. Suasana di tempat penamaan berjalan lancar, pihak polis dan FRU turut mengawasi sekitar kawasan penamaan. - mks.
BILA WALAUN OTAK TERBALIK
2 hours ago
0 comments:
Post a Comment