kamarulz.blogspot.com
Hari ini, 24 Februari 2008 adalah hari penamaan calon bagi Pilihanraya Umum ke 12. Kemeriahan penamaan calon amat terasa di seluruh negara dengan para penyokong calon masing-masing berarak bersama calon masing-masing ke pusat penamaan calon di kawasan yang telah di tetapkan. Penulis turut serta di hari yang bersejarah ini bagi berarak bersama calon-calon Barisan Alternatif bagi kawasan Gombak.
Para penyokong PAS dan PKR Gombak telah berkumpul seawal jam 7.30 pagi di Masjid Simpang Tiga, Gombak. PAS dan PKR kali ini menghimpunkan ramai penyokong masing-masing bagi mengiringi 4 calon BA ke Pusat Penamaan Calon di SMK Sungai Pusu, Gombak. PAS cawangan-cawangan juga membawa ramai penyokong masing-masing. Kelihatan suasana berwarna warni hijau, putih, biru muda (lambang PAS dan PKR). Pelbagai baju pelbagai corak juga di pakai oleh cawangan masing-masing. Apa yang menarik minat penulis ialah kehadiran ramai pemuda-pemuda PAS dan PKR kali ini. Kebanyakkan pemuda-pemuda ini datang dari PAS Gombak Setia dan Hulu Kelang. Ini petanda baik bahawa semakin ramai anak muda menyokong perjuangan PAS.
BA kali ini menampilkan saudara Azmin Ali (PKR) bagi kerusi parlimen Gombak, Dr. Hassan Ali (PAS) bagi DUN Gombak Setia, Ust. Shaari Sungib (PAS) bagi DUN Hulu Kelang dan saudara Amiruddin Shaari (PKR) bagi DUN Batu Caves.
Tempat jam 8.00 pagi, semua para penyokong PAS dan PKR telah berkumpul dan mendengar taklimat mengenai perarakkan ke pusat penamaan calon dan pada jam 8.40 pg, bacaan doa telah diucapkan oleh wakil PAS. Kemudian, semua calon-calon BA berserta para penyokong masing-masing berarak ke SMK Sg Pusu dengan suasana aman dan tenteram. Bagi menaikkan semangat, zikir, selawat, laungan takbir dan slogan-slogan diucapkan beramai-ramai.
Perarakan mengambil masa sekitar 20 minit kerana kawasan jalan yang agak sempit di tambah pula dengan kehadiran kenderaan. Jalan Sungai Pusu tidak ditutup oleh pihak keselamatan. Ini menyebabkan kesesakkan lalulintas di jalan ini. Semasa perarakkan PAS dan PKR sedang berlangsung, BN pula berarak dengan menaiki kenderaan bermotor dan membuat bising di jalan berkenaan. Kebanyakkan mereka adalah anak-anak muda bermotosikal. Semasa sedang berarak, penulis sempat menoleh ke belakang kerana penulis berada di baris tengah perarakkan. Kelihatan ramai para penyokong BA di belakang penulis. Jalan Sg Pusu ketika itu bertukar menjadi lautan penyokong PAS dan PKR. Kenderaan yang lalu lalang di jalan itu juga kelihatan membunyikan hon dan tanda bagus ke arah perarakan BA tanda sokongan kepada PAS dan PKR.
Para penyokong PAS dan PKR sampai ke padang SMK Sg Pusu pada jam 9.00 pagi. Sementara para calon BA masuk ke dalam dewan, semua para penyokong BA berkumpul di padang yang telah di sediakan. Para penyokong BA berada di sebelah kanan manakala BN di sebelah kiri. Apa yang menarik perhatian penulis ialah jumlah penyokong PAS dan PKR jauh lebih ramai berbanding BN. Dianggarkan penyokong BA jauh 3 kali ganda lebih besar daripada penyokong BN. Para penyokong BA bukan sahaja terdiri daripada orang-orang Melayu tetapi juga kelihatan orang-orang India dan Cina. Padang SMK Sungai Pusu juga dipenuhi dengan lautan bendara PAS dan PKR serta sepanduk-sepanduk 'tawaran BA' jika BA menang di Selangor. Di sebelah kawasan penyokong BN pula, tidak banyak bendera yang berkibar dan hanya ada 1 sepanduk sahaja yang kelihatan.
Sepanjang 2 jam berlalu (9-11 pagi), semua penyokong PAS dan PKR berhimpun dengan penuh semangat. Selain melaungkan zikir, selawat dan takbir, penyokong BA juga melaungkan slogan-slogan bagi menaikkan semangat. Berbanding penyokong BN yang diam tidak dan sibuk duduk mencari tempat teduh. Mereka kelihatan tidak bersemangat untuk menyokong calon-calon mereka. Ditambah pula jumlah mereka yang sedikit dan lebih ramai budak-budak sekolah yang dikerah untuk menjadi penyokong calon BN.
Penulis rasa bersemangat sekali bersama para penyokong BA yang lain. Kami berzikir, berselawat, bertakbir, melaungkan slogan-slogan, di samping bersorak ke arah BN yang kelihatan layu. Kami tidak sedar yang kami telah berdiri lebih dari 3 jam dan bersorak tanpa henti. Langsung tidak terasa letih. Ini kerana semangat yang berkobar-kobar untuk melihat kemenangan Islam di kawasan Gombak tercinta ini.
Ketika penghujung jam 11 pagi, suasana menjadi agak panas terutama di hujung padang kerana tindakan biadap segelintir penyokong BN yang membaling botol minuman ke arah penyokong BA. Suasana menjadi tegang seketika kerana penyokong PAS dan PKR marah dengan tindakan biadap penyokong BN. Bagi mengelakkan tindak balas dilakukan oleh penyokong BA, leader penyokong BA telah bertindak pantas meredhakan suasana. Semua penyokong BA telah di arah duduk beramai-ramai. Tindakan ini sangat berkesan apabila suasana menjadi hening seketika. Kesempatan itu diambil oleh seorang ustaz PAS yang bertindak membacakan doa bagi memohon pertolongan dan perlindungan Allah. Doa berkemundang jelas di udara. Apa yang menarik perhatian penulis, ada segelintir penyokong BN yang beragama Islam turut sama meng'amin'kan doa yang dibacakan oleh ustaz PAS.
Pada jam 11 pagi, SPR telah mengumumkan senarai calon parlimen Gombak, DUN Batu Caves, Gombak Setia dan juga Hulu Kelang. Pengumuman ini disambut dengan laungan takbir oleh para penyokong BA. Berikut adalah senarai calon di kawasan Gombak :
Parlimen Gombak
1. Saudara Azmin Ali (PKR/BA)
2. Saidd Anuar Said Ahmad (UMNO/BN)
DUN Batu Caves
1. Saudara Amiruddin Shaari (PKR/BA)
2. T Mohan (MIC/BN)
3. Azmi Hussain (BEBAS)
DUN Gombak Setia
1. Dr Hj Hassan Ali (PAS/BA)
2. Yuszahari (UMNO/BN)
DUN Hulu Kelang
1. Ust Shaari Sungib (PAS/BA)
2. Dato' Ahmad Bujang (UMNO/BN)
Sesudah senarai calon-calon di umumkan, semua penyokong BA menunggu calon-calon BA dan kemudian Dr Hj Hassan Ali memberi sedikit ucapan. Beliau memberi pesan untuk semua para penyokong BA bekerja keras bagi memastikan BA merampas semula kerusi DUN Gombak Setia dan Hulu Kelang daripada UMNO di samping menumbangkan BN di Parlimen Gombak dan DUN Batu Caves buat pertama kali. Insya Allah, sinar baru akan menjelma di Selangor bagi menuju ke arah Negeri Selangor Bersih, Adil dan Berkebajikan.
*BA pernah menang di DUN Gombak Setia dan DUN Hulu Kelang pada PRU-10 (1999) melalui Ust. Dato' Ismail Kamus (PAS) dan saudara Azmin Ali (KeADILan - sekarang PKR)
Sesudah itu, semua penyokong BA bersurai dan berarak pulang ke Masjid Simpang Tiga. Sampai di sana, penulis sempat berborak seketika bersama beberapa penyokong PAS. Kemudian, penulis bersama teman penulis singgah sebentar di Restoran Taqwa bagi bersarapan kerana kami tidak sempat sarapan pagi tadi.
Ini lah hari yang penuh sejarah buat penulis. Jika di ukur daripada segi semangat dan jumlah penyokong PAS & PKR di hari penamaan calon, adalah tidak mustahil untuk PAS dan PKR menyapu bersih keempat-empat kerusi di Gombak ini.
Wallahualam,
Sungai Pusu, Gombak
Selangor
BILA WALAUN OTAK TERBALIK
1 hour ago
0 comments:
Post a Comment