Mayat dalam beg beroda di jumpai dalam bas bawa rombongan Puteri Umno
KAJANG: Mayat seorang lelaki yang dipercayai mangsa pembunuhan dijumpai dalam sebuah beg di ruang bagasi sebuah bas yang membawa rombongan anggota Pergerakan Puteri Umno ke pusat penamaan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih pagi Ahad.
Mayat lelaki yang tidak dikenali dan berusia dalam lingkungan 40an itu ditemui digulung dengan sekeping tilam nipis, dibalut dengan beg plastik hitam dan disumbat dalam sebuah beg beroda berwarna biru.
Pemandu bas berkenaan menemui mayat itu kira-kira pukul 10 pagi ketika memeriksa ruang bagasi bas berkenaan di kawasan letak kenderaan Majlis Perbandaran Kajang setelah menurunkan anggota rombongan Puteri Umno dari Semenyih itu di Stadium Kajang bagi menyertai perarakan penyokong calon Barisan Nasional (BN).
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Rosli Mohd Nizam berkata berdasarkan keadaan mayat dan kesan kecederaan pada beberapa bahagian badan, lelaki itu disyaki dibunuh lebih 48 jam sebelum mayatnya dijumpai.
Rosli berkata pemandu bas itu bertindak memeriksa ruang bagasi setelah penumpang basnya mengadu terhidu bau busuk ketika dalam perjalanan dari Semenyih ke Stadium Kajang.
Polis kini mengambil keterangan daripada pemandu bas yang berasal dari Sungai Besi Indah itu bagi membantu siasatan, katanya kepada pemberita. BERNAMA
Feb 24, 2008
PUTERI UMNO BAWA MAYAT
Labels: Puteri UMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment