bulanpenuh2012
Melihat kepada aksi-aksi ganas berbentuk perkauman oleh TV3suku dan Utusan Meloya kebelakangan ini, kebanyakan pemerhati politik berpendapat bahawa ianya hanya akan meningkatkan populariti mangsa serangan di kalangan kelompok sasaran umpan perkauman ini ditujukan.
Kebelakangan ini kita melihat 'keganasan media' ini dilepaskan bertubi-tubi seolah-olah parlimen ke-12 ini akan dibubarkan keesokan harinya. Justeru, aktivis-aktivis Bersih yang tidak berperanan dalam mana-mana kerajaan negeri Pakatan Rakyat, seharusnya memainkan peranan lebih aktif untuk memanfaatkan situasi ini.
Perlu disedari bahawa minda rakyat selepas PRU12 ini menuju ke arah 'kalis perkauman'. Oleh itu sebarang serangan berbentuk perkauman terhadap pemimpin Pakatan Rakyat akan ditolak mentah-mentah.
Kesannya, satu demi satu serangan media arus perdana gagal mencapai matlamatnya. Dalam keadaan terdesak ini, pengendali media kerajaan mungkin akan melakukan sesuatu yang lebih ekstrem. Contohnya, melaga-lagakan istana dan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat ataupun menyebarkan hasutan dan tuduhan melampau bertujuan melaga-lagakan kaum. Mereka mengharapkan terjadinya rusuhan kaum atau setidak-tidaknya menimbulkan rasa tidak selesa di kalangan masyarakat berlainan bangsa dan agama.
Walaupun kemungkinan untuk berlakunya rusuhan kaum dilihat 'sangat kecil' oleh banyak pihak, namun pengalaman-pengalaman parti-parti pembangkang selama bermain dalam padang politik Malaysia yang 'kotor' ini harus dijadikan panduan.
Pengalaman menunjukkan pemimpin dan penyokong pembangkang berhadapan risiko politik yang tinggi. Pernah dibunuh, dibicara tanpa pendakwaan, disekat pergerakan, gangguan terhadap ahli keluarga, gangguan terhadap perniagaan dan harta benda, dituduh di bawah pelbagai akta drakonian, dilabel sebagai penderhaka istana, komunis, ejen negara asing dan sebagainya.
Ejen-jen perisikan pula menyusup masuk ke dalam parti-parti pembangakang untuk memecahbelahkan perpaduan, malah membeli pemimpin-pemimpin pembangkang yang murah maruahnya.
Kita telah menyaksikan 'sepak terajang' Umno selama 18 tahun terhadap Tok Guru Nik Aziz di Kelantan. Nampaknya beliau kini boleh 'berehat' sedikit. Dalam tempoh 60 hari selepas PRU12, media kerajaan telah menghalakan tembakan peluru penabur terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, MB Kedah Ustaz Azizan, MB Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim, MB Perak Dato' Seri Nizar Jamaluddin dan beberapa hari kebelakangan ini muncung meriam diletakkan ke dahi YB Karpal Singh.
Menariknya, semua serangan ke atas pemimpin-pemimpin ini berkisar kepada isu-isu perkauman. Modus operandinya sama. Digerakkan melalui manipulasi maklumat dan bertunjangkan penipuan. Di peringkat bawahan pula, pemuda Umno bersiap sedia dengan 'orang-orang upahan' untuk berhimpun secara haram ataupun membuat report polis.
Kisah Karpal Singh menarik perhatian saya kerana perkara yang dibangkitkannya bukanlah sesuatu yang baru. Hari ini, setiap ucapan dan kenyataan Karpal Singh diulas dan dilaporkan dengan cara yang menjijikkan.
Nampaknya, otak para pemimpin Umno masih belum beranjak kalendarnya dari tahun 1969. Mereka masih lagi memainkan isu-isu lapuk seperti peranan istana, DEB dan isu ketuanan melayu untuk mempromosikan ketegangan kaum.
Berkaitan dengan isu pengarah JAIP, Karpal Singh telah membuat penjelasan melalui sidang medianya. Soal kuasa Sultan Perak dalam hal ehwal agama Islam dan adat istiadat melayu, tidak pernah dipertikaikannya. Apa yang keluar dari mulutnya adalah pandangan perundangan mengenai kuasa eksekutif MB Perak terhadap kakitangan kerajaan negeri itu. Jelas, laporan-laporan media arus perdana adalah pembohongan dan berniat jahat.
Berdasarkan laporan harakahdaily pada 6 Mei 2008, jelas MB Perak juga telah difitnah. Apa yang berlaku cuma soal prosedur. Sultan Perak telah dimaklumkan lebih awal tentang pertukaran itu. MB Perak pula diminta mengadap untuk memberi penjelasan tentang tindakan yang diambil.
Benarlah kata ramai pemerhati, media arus perdana tidak akan berubah. Mereka mungkin menyapu sedikit bedak sejuk selepas PRU12 ini. Namun, penipuan, pembohongan dan putar belit akan berterusan.
Sayangnya di pihak Pakatan Rakyat tiada peluang untuk menjawab. Dengan kekerapan penerbitan akhbar parti hanya 2 kali sebulan, sebahagian warganegara yang tidak mempunyai akses kepada media alternatif mungkin telah termakan dengan penipuan-penipuan ini.
Dalam tempoh masa 'dicelah-celah' itu, mungkin ramai yang buta-buta menganggap Menteri Nazri Aziz dan Adun Zambry Kadir sebagai pelindung martabat raja-raja Melayu manakala Karpal Singh dan Nizar Jamaluddin pula dianggap penderhaka istana.
Namun begitu, berdasarkan sentimen 'kalis perkauman' dewasa ini, jentera penerangan Pakatan Rakyat wajiblah memanfaatkan situasi ini sebagai peluru yang berpatah balik kepada penyerangnya.
Mungkin penerangan lisan, sms, blog, risalah, ceramah dan sebagainya perlu diperhebatkan kerana kita menghadapi kekangan untuk memiliki tv, radio dan akhbar harian. Mungkin juga aktiviti solat hajat dan 'doa tolak bala' perlu diaktifkan sekurang-kurangnya di peringkat MTD. Ini akan membantu untuk mengumpulkan kekuatan rohani disebalik fitnah yang maha ganas ini.
Berbalik kepada Karpal Singh, serangan terhadapnya berkaitan isu 'titah kerajaan' oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong di hari pembukaan parlimen, telah melonjakkan popularitinya di kalangan orang melayu.
Walaupun bukan kali pertama mempertikaikan siapa penulis sebenar ucapan itu, tetapi masih ada yang ketinggalan keretapi. Apabila Karpal Singh 'refresh' semula isu ini, ramai orang melayu mula sedar betapa institusi istana dan peranan raja-raja melayu telah 'dikembirikan' oleh Umno sejak sekian lama.
Ramai yang mula membaca semula buku sejarah dan akan mendapati bahawa selain dari Lim Kit Siang, Karpal Singh adalah antara pemimpin pembangkang yang menentang tidakan jahat Umno meminda perlembagaan untuk 'memandulkan' institusi istana pada 1983 dan 1987. Mereka bersuara untuk orang-orang melayu di dalam dan di luar parlimen.
Tidak diketahui sama ada Nazri Aziz dan Zambry Kadir mahupun anak kutty Naina Merican telah 'bersunat' dengan Kepala Kutty Mahathir pada ketika itu.
Dulu Tok Guru Nik Aziz jadi popular setiap kali diserang media. Tidak perlu beli slot iklan berjuta-juta ringgit pada waktu 'prime time'. Beliau sentiasa mendapat tempat pada waktu ramai rakyat Malaysia menonton tv. 18 tahun lamanya Tok Guru mendapat iklan dan promosi percuma. Beliau kini popular di seluruh Malaysia.
Kini 'tuah' sebegitu bergolek pula ke kaki Karpal Singh. Jangan pula terperanjat kalau mana-mana survey yang dijalankan selepas ini mendapati Karpal Singh menduduki tempat ke-2 selepas Tok Guru Nik Aziz dalam carta pemimpin politik paling popular di kalangan orang melayu.
RAKYAT CERDIK HARUS BERFIKIR
5 hours ago
0 comments:
Post a Comment